Sabtu, Disember 29, 2012

Impossible Is Nothing (Part 3)

Hari Sabtu dah keluar Bali Post!

Sehari sebelum perlawanan, aku sudah di interview oleh Bali Post. Banyak yang ditanya. Kenapa di Ubud? Apa hubungan aku dengan Ubud? Apa matlamat aku? Jadi disini, aku perturunkan jugak jawapan aku yang lahir daripada hati tulus ikhlas aku.
 
Soalan pertama, kenapa di Ubud? Sebabnya adalah kerana aku selalu berulang-alik di Ubud. Semua tempat aku tahu. Kebanyakkan orang aku kenal. Makanya kalau aku nak mengelolakan apa-apa di Ubud ni, insyAllah tak ada masalah. Masyarakat di Ubud juga amat prihatin dan suka membantu. Yang tu aku jamin. Kalau sakit demam ka, penin ka, kereta rosak tiba-tiba ka, panggil saja....satu kampung akan keluar membantu. Setakat ni begitulah yang terjadi pada aku. Pada orang lain aku tak tahu lah pulak!
 
Soalan kedua, apa hubungan aku dengan Ubud? Jawapan aku, yeah...aku tak ada apa-apa hubungan dengan Ubud. Cuma ramai kenalan rapat aku berada di Ubud. Ini termasuklah Pak Rai serta isteri dan juga ibunya yang bernama Warsi. Depa menjaga makan-minum aku, sakit-pening aku dan segala macam keperluan aku seolah-olah aku ni sebahagian daripada mereka. Ibu Warsi sebagai contohnya akan membuatkan aku air minum dan meletakkan kain yang dicelup dengan air sejuk dikepala aku supaya aku cepat kebah kalau demam. Ibu Warsi yang berusia 78 tahun itu jugalah yang akan terbongkok-bongkok membuka pintu kayu didepan bila aku habis meeting lambat melewati 12 tengah malam. Nah, disitu aku rasa ada sedikit "chemistry" antara aku dengan Ubud.
 
Soalan ketiga, apa matlamat aku? Matlamat aku ada banyak. Pertama sekali aku rasa it's about time for me to give back to the "local community" yang menerima aku dengan baik disini. Lepas tu, aku terpanggil untuk membantu depa dari apa segi sekali pun terutamanya anak-anak disana yang aku lihat sama seperti anak-anak aku jugak! Prasarana sukan tak berapa baik. Padang tak elok. Anak-anak main tak pakai kasut sedangkan anak-anak kita walaupun berumur baru 7 tahun dah pakai kasut adidas! Apalagi yang aku dapat bantu kecuali membantu anak-anak disana. Tengok depa senyum ketawa bila dapat bola baru dah sangat menggembirakan aku. Jadi sekarang kalau aku nak kesana, aku akan bawak peralatan bolasepak. Soccer ball is a must! Kalau ada sapa-sapa nak contribute, alhamdulillah...aku pancitkan bola dan nanti aku bawak kesana! Hahahahaha...Lepas tu, aku nak anak-anak kita mendapatkan pendedahan sebanyak mungkin. Aku tak mahu tunggu lama sebab kalau aku tunggu mungkin akan berlangsung jugak tapi mungkin lambat! Jadi bila aku mampu, masih ada contact, baik aku buat sekarang! Aku juga nak dedahkan anak-anak kita kepada hubungan kebudayaan 2 hala, KL-Bali. Biar depa tengok macamana susahnya anak-anak Bali menjalani kehidupan seharian.....Nah....itulah sebabnya aku buat di Ubud. Matlamat aku cuma nak membantu anak-anak disana sekaligus memberi pendedahan secukup-cukupnya kepada anak-anak dari sini.
 

Warm up di padang Grade A

Pemain-pemain bolasepak yang aku bawa mendapat sambutan yang amat baik daripada masyarakat setempat. Bila pemain ke pasar, mereka disapa. Bila mereka ke Tegallalang, mereka diajak bergambar. Aku pun jadi heran macamana masyarakat setempat kenal dengan depa? Kemudian baru aku teringat yang artikel pasal anak-anak ni dah keluar di suratkhabar! Amboi aih...hebat sunggoh depa nooo.....aku tak dak sesiapa pulak nak ambik gambar! Hahahahahaha...tak aciii ni! Ketika aku bersama supir, Pak Wayan pulang ke hotel, Pak Wayan ada bagitahu aku bahawa kalau aku menganjurkan Pertandingan Bolasepak lagi pada masa-masa yang akan datang, pemuda-pemuda di Ubud depa akan lekatkan sticker di kereta depa selain mengedarkan pamphlet di hotel-hotel dan juga di kesemua tourist attraction bagi membantu memeriahkan lagi perlawanan. Pergh...aku bersyukur dan berterimakasih pada mereka!

About to start

Dari luar padang, para pemain ni semua nampak kecik. Tapi bila di padang, aik...sama besar dengan referee pulak! Seronok aku tengok anak-anak semuanya seronok. Selain melancong, depa dapat main bola, berkenalan dengan rakan-rakan yang baru dan belajar tentang budaya dan adat resam masyarakat setempat!

Managed to get FIFA referees!

Amboi, masuk padang macam Germany vs France pulak! Bersemangat depa melangkah masuk untuk perlawanan pertama. Alhamdulillah depa tak ambil masa yang panjang untuk menjaringkan gol pertama dan seterusnya depa menang dengan keputusan 3-0! Semua pemain puas bermain dipadang yang terbaik. Masalahnya cuma cuaca yang tersangat panas walaupun jam baru menunjukkan pukul 9 pagi!


Co-organiser dah tergolek!

Amboi letih sungguh aih...mengalahkan organiser! Anyway, kami tinggal di Saru Dori Bungalow. Bilik berharga RP200,000. Ada air panas, coffee and tea making facilities, a huge balcony, long bath, breakfast inclusive and a ceiling fan. Bersebelahan pulak dengan toko buku terhebat yakni, PERIPLUS dan berhadapan dengan Delta Dewata (24 hours convenience store)! All for a mere RM64! Mana boleh dapat? Hahahahahaha....tapi yang tu harga aku. Harga orang lain, mestilah lain! Sendiri mau ingat lah! Hahahahahaha....

 
Dari kiri reporter Bali Post, Pak Ketut owner of Honeymoon Villa, orang kaya Jalan Cahaya 13 dan Ketua Polis Gianyar

Sewaktu perlawanan dijalankan, aku duduk bersama-sama dengan seorang reporter dari Bali Post. Soal jawab banyak berlangsung dengan beliau. Sorang lagi ialah Pak Ketut yang juga merupakan orang kuat Ubud. Aku kata beliau merupakan orang kuat Ubud kerana beliau dan isteri (ibu Janet, warga Australia) adalah merupakan organiser kepada "UBUD WRITERS FESTIVAL" yang mengumpulkan penulis-penulis besar dunia dan salah sorangnya ialah Karim Raslan dari Malaysia selama seminggu di Ubud untuk bengkel penulisan, bercerita, membaca buku dan banyak lagi workshop-workshop lain. Selain itu mereka juga merupakan pengusaha kepada restaurant-restaurant ternama di Ubud sepeti INDUS dan CASA LUNA serta HONEYMOON VILLA. Kesemua nama-nama ini boleh di GOOGLE dan lihatlah sendiri tempat-tempat tersebut.

Players dibawa ke Mont Batur.

Selepas selesai game pertama dan menang 3-0, anak-anak ini pulang ke hotel penginapan masing-masing. Lunch "nasi kotak" dah pun menunggu dan memang umur-umur nak membesar. Depa makan dengan berselera sekali! Tepat pukul 2 petang, kami berkumpul di Warsi dan bertolak ke Mount Batur. Seronok melihat gelagat depa. Dalam perjalanan pulang pulak, kami singgah sekejap di Tegalalang untuk bergambar dan membeli-belah sedikit. Sebenarnya bukan sedikit....dalam kesempatan yang singkat itu, depa sempat pulak berkenalan dengan beberapa anak-anak gadis dari Ubud! Alamak...yang ni tak ada pulak dalam agenda aku! Hahahahahaha....

Rabu, Disember 26, 2012

Impossible Is Nothing (Part 2)

Stadium Dipta, Gianyar.

Alhamdulillah, dengan kesabaran dan ketekunan kami berusaha, maka kami telah dibenarkan untuk bermain di Stadium Dipta di daerah Gianyar yang merupakan stadium terbaik di Bali. Bukan senang katanya nak bermain disini kecuali di Liga Kebangsaan sahaja dan dihadkan hanya beberapa perlawanan sahaja setahun. Hebat sungguh dan pemain-pemain kita berjaya bermain disitu. Satu pengalaman yang tak akan dilupakan sampai bila-bila!

Bersemangat anak-anak!

Anak-anak semua happy sebab inilah kata mereka padang terbaik pernah depa main selama ni. Aku bersyukur sebab segala susah payah mengelolakan telah terbayar. Para pemain kata padang ni lebih baik daripada padang di Stadium Bukit Jalil! Isshhh ya ka? Tak tahulah pulak aku sebab aku tak pernah dapat main kat situ. Paling hampir yang dapat aku main masa semi final lawan AFATS di padang negeri yakni satu-satunya stadium di Seremban tahun 84 dulu.

Coach Sam (VI) dan Hamidi (GM Holiday Villa Bali) bertukar cenderahati.

Sesampainya anak-anak di Bali, aku bawak terus ke Holiday Villa Hotel di pantai Kuta untuk makan tengahari. Kawan lama aku si Hamidi hostkan. Alhamdulillah...rezeki anak-anak....makanlah elok-elok sebab lepas ni cuma makan nasi kotak! Sekali lagi alhamdulillah sebab HV melayan anak-anak dengan baik sekali. Semuanya makan dengan berselera. Mak-bapak jugak tidak ketinggalan menikmati juadah malaysia. Executive Chef disitu anak kelahiran Flat San Peng. Memang berhadapan dengan VI pun. Makanya, lagi sedaplah dia masak! Walaubagaimanapun tempat penginapan anak-anak bukan disitu sebab aku takut anak-anak ni semua tak balik ke bilik malamnya nanti sebab terlalu banyak gangguan yang ada. Kalau kat Ubud tu senang aku nak control! Ronda dengan motor pun dah jumpa...dan masyarakat kat Ubud pun dah kenal jugak dengan aku. Jadi, jika ada masalah kalau pemain tak balik ke bilik pukul 8 malam, sekejap saja dapat dicari. By the way, bila ikut rombongan aku, players semua makan malam pukul 7. Rehat. Pukul 9 ada briefing daripada coaches dan pukul 10 malam pulak lampu mesti dimatikan. Ini terpaksa dibuat untuk menjaga tenaga pemain-pemain semua! Pasal tu lah depa menang ke tiga-tiga perlawanan dan menjuarai kejohanan 4 penjuru tersebut. Cara permainan juga nampak "mature" dan sangat sistematik. Bila dilihat dari atas, pergerakan pemain-pemain 14 tahun ni semua sangat cantik dan terancang. Terimakasih kepada coach Sam (qualified FIFA referee) dan coach Lan (former national defender in the 90's) yang berjaya membentuk anak-anak ni semua!
Dari kiri Afzal, Shafiq, Shamel dan Naufal

Oleh kerana perjalanan ke Bali telah terlewat selama satu jam, maka para pemain semua sampai lambat dan ternyata depa semua tersangat lapar. Kesian melihatkan depa sewaktu sampai sekitar pukul 3 petang. Makan tengahari cuma pada pukul 4 petang. Nasib baiklah Hamidi berbesar hati menangguhkan sehingga pukul 5!

Coach Sam, Coach dari Nicaragua, Hamidi dan Coach Lan

Selepas makan dan bertukar-tukar cenderahati, Hamidi memberikan sedikit kata-kata semangat kepada para pemain. Aku tumpang bersemangat pulak. Macamlah aku yang nak main! Yang aku tahu sepanjang berada di Bali, berat aku bertambah naik dan tak turun-turun sampai sekarang! Hahahahahaha.....


Entrance HV Kuta sebelum ke Ubud

Selepas bergambar sakan di depan hotel, kami mula bergerak ke bas yang telah siap menunggu. Aku terpaksa mengambil 2 bas sebab bas 40 seater tak boleh nak masuk Kuta dan Ubud yang diketahui semua tersangatlah sempit dan berliku! Ditambah pulak dengan "macet", kami cuma sampai di Ubud dalam pukul 9 malam! Sesampainya kami disana, Pak Rai telah menyiapkan makanan untuk semua. Pergh...nasi padang! Melantak lagi tak ingat dunia. Para pemain dan jurulatih berhimpun di Warsi. Aku dan beberapa ibubapa lain di Saru Dori manakala selebihnya di Gerhana Sari. Alhamdulillah semua berpuas hati dengan penginapan yang aku sediakan. Bilik taklah semewah Four Seasons ataupun Westin di Nusa Dua tapi bilamana para pemain dan ibubapa kata selesa dan berpuas hati, makanya tugasan hari pertama aku berjalan lancar dan aku berpuas hati! Pak Rai kasi harga kawan-kawan RM64 sebilik untuk 2 orang berserta sarapan pagi! Fuyoo...lavish tuuuu.....dengan harga yang sebegitu murah, di Gerhana Sari, ada pulak swimming pool mengadap sawah! Mak aiiiii......heaven...heaven.....


Jumaat, Disember 14, 2012

Impossible is Nothing (Part 1)

Pak Rai berbaju biru

Trip ini mengambil jangka waktu yang sangat lama untuk dilaksanakan. Banyak perkara yang harus aku pikirkan. Banyak citarasa harus aku ikuti dan banyak cabaran yang perlu aku lalui. Segala-galanya bermula daripada cakap-cakap kosong sewaktu sarapan pagi bersama Pak Rai 8 bulan yang lalu. Sewaktu itu, oleh kerana bilik yang aku tinggal berhadapan dengan padang (bahasa indonesia dipanggil lapangan) bola, satu pagi sewaktu aku makan pagi dan ngopi bersama Pak Rai, aku ajukan soalan samada Ubud mempunyai pasukan bolasepak peringkat umur apa tidak? Katanya ada dan dia merupakan pengendali yakni jurulatih merangkap pengurus. Aku terdiam. Keesokan harinya aku ajukan satu lagi soalan. Kali ini aku bertanya samada Pak Rai boleh membimbing lalu membawa pasukan bolasepaknya ke KL untuk menyertai kejohanan di Kuala Lumpur. Pak Rai terdiam dan perlahan memberitahu aku yang mereka tiada dana mencukupi. Dalam pada itu, Pak Rai bertanya pula kepada aku apakah aku sanggup membawa pemain bolasepak dari KL untuk berkunjung ke Bali dan bermain beberapa perlawanan competitive disana. Hmm, aku rasakan bahawa ini merupakan peluang terbaik untuk anak-anak menimba ilmu, melihat budaya lain dan dalam waktu yang sama masih berkesempatan untuk enjoy apa yang mereka suka, yakni bermain bolasepak!


LCCT

Idea tersebut aku bawa pulang ke KL dan bila aku berkesempatan mengadakan mesyuarat pertama di KL, selain daripada perbincangan mengenai pelajaran anak-anak, aku selitkan juga idea aku yang ingin membawa pasukan bolasepak bawah 14 tahun sekolah anak aku ini ke Bali. Cetusan idea tersebut mendapat maklum balas yang positif. Aku nyatakan bahawa aku akan membuat satu kertas kerja dan merancang berapa jumlah wang yang diperlukan oleh setiap pemain. Oleh kerana anak-anak ini merupakan pemain-pemain bolasepak yang berbakat dan mereka merupakan pemain-pemain untuk sekolah sukan bolasepak, makanya idea aku tadi lebih senang untuk diterjemahkan. Mungkin ada aku nyatakan dulu didalam entry-entry aku yang lepas bahawa didalam pasukan bolasepak dibawah umur 14 tahun ini, telah ada beberapa pemain yang telah dipanggil untuk latihan bolasepak kebangsaan. Mereka memang hebat. Bermain 5 hari seminggu disekolah, sabtu dan ahad mereka akan berlatih dengan kelab masing-masing di sekitar KL.
Pemain-pemain yang sangat berbakat
Pertemuan pertama menampakkan hasil yang sangat baik. Aku berdoa agar rancangan ini akan mampu dilaksanakan pada bulan Disember 2012 sebaik sahaja anak-anak selesai peperiksaan akhir tahun. Setiap sesuatu yang dirancangkan, aku haruslah memberikan target sebelum mereka kami bawa ke Bali. Carrotnya ialah "bali trip" dan untuk mampu ke bali dan bermain bolasepak, mereka haruslah mendapatkan result yang bagus didalam peperiksaan akhir tahun. Dan alhamdulillah, keputusan mereka adalah lebih baik daripada peperiksaan-peperiksaan yang lalu. Meningkat dengan  positifnya. Oleh kerana aku bukanlah sponsor yang besar, aku nyatakan pada mereka bahawa mereka harus membiayai tambang mereka sendiri. Mereka harus mencari dana sebanyak RM1000 seorang! Ramai pemain yang tiba-tiba menjadi sangsi dengan jumlah yang aku nyatakan. Aku tahu, dalam kepala otak mereka, tentulah ada yang terfikir bagaimana caranya nak dapatkan jumlah sebesar itu diwaktu mereka masih lagi bersekolah dan di dalam lingkungan umur 14 tahun!

Ibu-ibu yang juga sangat berbakat!
Keinginan untuk ke Bali meluap-luap dikalangan mereka. Pertandingan demi pertandingan mereka harungi dan yang terbesar mereka berjaya ke peringkat separuh akhir dan kejohanan itu pula ada menawarkan wang tunai. Duit daripada kejohanan seperti itulah yang mereka kumpul. Ada seorang lagi pemain yang bermain dengan bermati-matian sepanjang pertandingan, sehingga dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan. Duit yang diterima sebagai pemain terbaik diserahkan terus kepada kami sebagai tambahan dana. Hebat budak-budak ni semua. Bersemangat waja demi bolasepak....

Ngurah Rai Airport, Bali

Kesungguhan anak-anak mengumpul wang daripada pertandingan bolasepak tempatan membuatkan aku tambah bersemangat untuk merealisasikan impian membawa anak-anak ke luar negara. Banyak syarikat-syarikat besar yang aku telah hubungi dan nantikan jawapan. Sehinggalah ke suatu waktu apabila tiada satu pun yang membalas surat-surat aku dan panggilan-panggilan aku. Sementara pada waktu yang sama Pak Rai telah menghubungi aku dan menyatakan bahawa harga bas adalah sekian, harga bilik adalah sekian dan ada beberapa perkara yang terpaksa aku buat bayaran tambahan! Aku jadi buntu. Jumlah kutipan telahpun aku beritahu kepada anak-anak dan para ibubapa. Aku tak boleh menukar "as and when". Sedaya-upaya aku cuba menbendung perbelanjaan agar terus didalam lingkungan yang telah diberitahu. Meeting demi meeting aku laksanakan. Sehingga pada suatu waktu, aku terasa seperti aku kurang mendapat sambutan! Aku jadi bingung. Tanpa patah semangat, demi passion anak-anak terhadap bolasepak, aku terus bekerja keras mendapatkan sokongan daripada ibubapa yang lain, anak-anak yang berminat dan alhamdulillah aunty yang sentiasa menyokong dan niat aku cuma satu, memberi pendedahan sebaik-mungkin kepada anak-anak dari segi kebudayaan, mengembangkan minda mereka agar dapat melihat perbedaan masyarakat 2 negara serumpun dan yang paling utama ialah untuk memajukan sukan bolasepak,  demi negara "Tanah Tumpahnya Darahku!"

Sabtu, Disember 01, 2012

Petaling Street


Sekali-sekala berjalan di Petaling Street agak menyeronokkan. Selain daripada dapat melihat pelbagai jualan, aku juga suka melihat benda yang aku rasa jarang dapat aku jumpa dimana-mana. Lantas tangan cepat mencapai kamera untuk aku abadikan sebagai kenangan. Gambar-gambar lain tu aku tak minat sangat sebab selalu boleh dapat! Sekarang ni aku lebih kerap kesana sebab sekolah abang cuma beberapa ratus meter sahaja dari PS.


Kedai ni berada betul-betul dihadapan sekali sebelah kanan kalau kita datang dari arah Kotaraya. Susunan herbal jelly disusun rapi didalam botol-botol  cantik. Mata aku tak berkelip membaca potongan-potongan suratkhabar mengenai kedai tersebut. Dah berpuluh tahun aku perasan kedai ni. Cuma sekarang aku saja yang aku berhenti dan duduk didalam kedai.


Salah satu gambar disudut yang menarik. Katanya salesgirl yang bertugas, minuman yang dijual baik untuk kesihatan. Tak tahulah aku. Tak berani pulak aku nak makan ataupun minum sebab takut ditambah "steroid". Tak pasal-pasal kena barah! Tapi aku rasa tempat ni bebas daripada bahan-bahan terlarang. Kalau tidak takkanlah mantan PM pun pernah pergi kesana!



Yang ni pulak signboard dibadan sebuah van yang kebetulan lalu kat situ. Aku suka tengok gambar chef tu yang seolah-olah Jeneral Mac Arthur ( betul ke ni?) dengan "America Wants U!" tagline. Sukakan bahasa yang digunakan dan begitu jugak gambar yang dipertaruhkan agar dapat menarik minat orang ramai. Selain daripada yang diatas, ada jugak kedai yang bernama "Ta Li Pon" dan jugak "Belly Good!". Menarik sungguh.....Ok people, kejap lagi aku nak menuju ke Stadium bukit Jalil dan bagi sokongan pada rimau-rimau yang kelaparan. Bonne weekend!

Selasa, November 27, 2012

SDAR 85 Reunion 2012

Dari kiri, Badang, Chico dan Kusya

17hb November kami rakan-rakan sekolah tahun 1985 bertemu lagi untuk kali terakhir beramai-ramai untuk tahun 2012. Muka-muka seperti aku, kudo, jawer, iq, abul, kusya, ketard dan beberapa orang lagi adalah muka-muka yang selalu ada kalau ada majlis "old boys" sebegini. Dalam pada tu terselit jugak nama-nama seperti Cheng, Schenker (sempena Michael Schenker), Kihh (sempena kumpulan KISS) dan lain-lain lagi yang jarang dapat kami bertemu. Buat kat Rebung Restaurant di Lorong Maarof. Tokey kedai, Chef Ismail cuma nampak kelibat sewaktu nak masuk waktu Asar. Berjubah dia....

Dari kiri Nick, Cheng, Schenker, Kiss dan Judd
Banyak sungguh cerita yang diutarakan. Kalau dulu kami bercerita perihal kehidupan disekolah, tapi kali ini aku agak "terkesima" bilamana topik perbualan berkisar kepada peperiksaan anak-anak seperti UPSR, PMR, SPM dan ada jugak antara kami yang anak-anak dah mula masuk ke Universiti! Pergh biar betul ni....patutlah budak-budak kat pool tu dok panggil aku "uncle!". Aku ingatkan budak-budak tu semua "old boys" tapi ternyata sangkaan aku meleset gila! Hahahahaha...
Mengadap nasi lemak bungkus
Dalam pada dok bercerita perihal anak-anak, topik lain adalah seperti minat kami selepas "remaja" ni. Bercerita mengenai kereta, percutian bersama keluarga, konvoi motosikal berkuasa besar dan lain-lain lagi. Bila masuk bab "motor besar" ni aku punyalah berminat walaupun hakikatnya, motor aku taklah sebesar mana.....walaubagaimanapun aku masih berpegang pada kata-kata Henry Ward Beecher, "Ability To Convert Ideas To Things Is The Secret To Outward Success!"....nahhh......tepat sekali. Ideas aku banyak dan akan direalisasikan satu persatu....termasuklah idea macamana nak dapatkan TRIUMPH! Hahahahaha...
Memang budak2 nasi kawah!
Rebung Restaurant menyediakan persekitaran yang santai. Set-up yang tidak berlebihan selain harga yang sangat berpatutan menyebabkan aku sesangat berminat untuk mengadakan perjumpaan kami disini. Prior to event aku tu, adalah 2 kali aku kesana cuma untuk melihat tempat. Besar dan mempunyai kemudahan seperti tandas serta surau lelaki dan wanita. Masalahnya cuma parkir. Jalanraya yang sempit menyebabkan banyak kereta "double park". Manakala aku pulak, biasalah.....ATAS DIVIDER! Hahahahahaha.....
Orang kuat Sime D

Ini kalau boss besar Sime D tengok pegawai besar dia duduk macam ni......hahahahaha, Mat Bo!

Kusya ni rajin sikit daripada budak-budak lain. Setiap kali kami bertemu, dialah yang akan buat presentation gambar-gambar lama kami yang entah dari mana dia kutip! Pada kali ni Kusya siapkan 5 presentations. Mak aiii....mengekek-ngekek kami gelak...siap guling-guling atas lantai lagi! Hebat penangan gambar-gambar lama....Dalam syok dok tengok gambar-gambar slides tu tiba-tiba pada satu "pose maut" ada budak jerit "Nick Kershaw". Maka lagi gamatlah Rebung pada petang tu....Nick Kershaw ni merupakan penyanyi yang sangat "Brit Pop" sekitar tahun 84-85 kena pulak dengan waktu kami remaja dulu....rambut dia, potongan seluar dia, suara dia, memang menakjubkan kami budak-budak baru nak besar waktu tu! Jadi bila disebut saja nama tu, terbayang lah kami beberapa orang yang teringin bergaya macam NK! Hahahahaha.....

Rumah Bendahara, aku lah kepala!
Aku dilantik menjadi ketua Rumah Bendahara pada tahun 1985. Bernasib baik kerana Rumah Bendahara dapat menduduki blok yang baru siap. Bersebelahan dengan dewan makan dan dibawahnya ada bilik menonton. Puas menonton tv, kami berpaling kebelakang pulak dan seronok menonton budak-budak lain dok buat "breakdance". Masa tu breakdance tengah meletup! Cerita Flashdance pun baru keluar...hahahahaha......panggung wayang kat seremban masih seat kayu lagi...siap ada jual icecream kat dalam panggung! Fuyoo.....lipas dengan tikus pun kadang-kadang dok cuit kaki kita...hahahahahaha.....
Rakan-rakan yang "grad" awal!
2-2 gambar diatas ni merupakan gambar rakan-rakan yang "horey-horey" masa kat sekolah dulu....Muka-muka ni semua kalau juniors tengok mesti kecut perut....lalu kat tepi semuanya tunduk kepala....kalau angkat kepala, siap kena jegil..."Apa stare-stare?"....hahahahahaha.....waktu tu, semuanya seronok. Especially bila dah jadi senior. Tapi la ni semuanya nak mengarah ke "senior citizen!" Addoooiiiii......

Dalam pada dok seronok bersembang, jam pun dah menunjukkan pukul 6 petang. Tanda berakhirnya waktu hi-tea yang kami tempah. Semua berjabat tangan dan memohon maaf apa-apa yang patut dan mula plan untuk program yang akan datang. Dalam salah satu posting aku di FB, aku ada bagitahu yang tahun depan aku dan Kudo dan Ketard dll akan organise bas rombongan ke Johor pulak untuk membalas budi baik depa yang selalu turun ke KL kalau ada apa-apa event yang batch 85' organise.....Kepada semua yang hadir, aku nak ucapkan berbanyak terimakasih dan pada yang tak dapat hadir, insyAllah kita akan adakan lagi tahun depan. Dalam salah satu gambar yang aku ambik di tangga sekolah sebelum kami bubar lepas SPM dulu, Singh ada tulis, "Cherish The Moment That We've Shared!". Yeah.....you're right bradda!

Sabtu, November 10, 2012

Cuti Sekolah!

Charlies Angels. Tom Bosley yang ambil gambar!

Amboi lama jugak aku tak update blog aku. Tiba-tiba aku jadi busy tak tentu hala. Dah hampir 45 tahun tak pernahnya aku busy lagu ni! Tiap-tiap hari hujan lebat. Letih aku. Nasib baik aku tak memandu. Kalau tidak, tambah banyaklah dosa aku sebab akan terkeluar perkataan-perkataan yang kurang enak! Selama beberapa minggu aku berhibernasi ni, selain daripada sibuk ditempat kerja, aku juga menyibukkan diri dengan aktiviti sekolah anak aku yakni Victoria Institution. Anak aku berada didalam kumpulan "projek bolasepak bawah 14 tahun" dan aku sekarang sedang menguruskan pemergian depa ke Bali untuk perlawanan persahabatan antarabangsa depa. Idea untuk membawa pasukan bolasepak ini ke Bali bermula apabila aku selalu berulang-alik kesana tahun lalu. Hotel yang aku duduk berhadapan dengan padang bolasepak di Ubud yang dipanggil "lapangan". Setiap pagi dan petang ada saja budak-budak dok main bola kat situ. Kadang-kadang ada pelancong asing yang main sama-sama dengan anak-anak muda tempatan kat situ. Aku bersembang dengan sorang pengusaha hotel disana apakah Ubud ada pasukan bolasepak yang baik? Beliau kata ada dan beliau sebenarnya merupakan jurulatih kepada pasukan Ubud merangkap pengurus pasukan. Kebetulan sewaktu kali terakhir aku kesana, sepupu beliau datang dan diperkenalkan pulak kepada aku. Sepupu beliau ni pulak merupakan AJK tertinggi Tim Sepakbola Bali merangkap AJK Sepakbola Indonesia. Waaaa.....ini dah bagus! Aku mulakan cadangan mengadakan perlawanan persahabatan dan aku ajak pemain Bali ke KL. Katanya kekurangan dana. Tapi dijemputnya team KL pulak ke Bali. Makanya dari situlah segala-galanya bermula....dan sekarang ni aku dah masuk gear 4 yakni peringkat akhir untuk membawa pemain bolasepak Victoria Institution bawah 14 tahun ke Bali untuk 3 perlawanan persahabatan antarabangsa pada 7, 8 dan 9hb Disember nanti. Kalau program pertama aku ini berjaya, ini akan membuka jalan kepada banyak lagi kejohanan antarabangsa yang boleh dianjurkan. Doakan kejayaan kami disana ya....errr, by the way, semua buat sendiri ni!

Duduk paling kiri!

Bila anak-anak relax tak baca buku dan abang usung baju dan segala macam balik kerumah dari asrama, barulah aku terperasan yang cuti sekolah dah pun bermula. Masa aku kecik macam depa dulu, inilah saat yang aku paling tunggu-tungu. Cuti hujung tahun dan naik kelas baru tahun yang akan datangnya. Errr, selain daripada tu mestilah "PESTA PULAU PINANG" yang memang ditunggu-tunggu! Hahahahahaha...allaaaahhh bukannya ada apapun....tapi kemeriahan dan betapa ramainya orang membuatkan aku tak sabar-sabar nak ke Pesta. Last-last bila dihitung balik, mahu sampai 7-8 kali aku ke PESTA! Hahahahahaha...
Depa kata gambar Yuya seiras dengan budak hemmsemm dalam gambar awal tadi?
Bila aku dah mula panjang kaki berjalan, musim cuti sekolahlah merupakan saat yang aku tunggu-tunggu. Macam-macam plan dah ada kat kepala otak. Pi tengok wayang lah....pi mandi laut lah....balik kampung di aloq setaq lah...pergh.....penuh schedule aku. Masa "prep" malam pun kepala otak asyik ingat ke lain....dah dok terbayang naik keretapi. Turun kat butterworth. Makan kat Hameediyah...then bila sekarang ni aku tengok anak-anak aku melepek kat depan tv main game sewaktu cuti sekolah ni, aku terpikir.....seronok ka cuti sekolah depa ni? Tak teringin ka nak panjat pokok ka....main "police and thief" ka.....mandi sungai ka.....kayuh basikal satu kampung ka...main gasing ka...hmmmm, bagi aku, "fun" cuti sekolah tu dah tak ada lagi la ni! Sedih jugak tengok anak-anak aku.....
Le Cucur, KLCC

Besok aku kerja jugak walaupun hari minggu. Jadi maksudnya, minggu ni terus-terusan kerja tanpa henti. Semangat-semangat.....masa MUDA ni lah nak kerja betul-betul....nanti umur 65 aku nak pencen. Jalan-jalan sikit...(kalau larat jalan...). Ni pun masa nak sujud lutut dah "berdetup-detap" bunyi....risau jugak aku. Dok kata nak jumpa doktor sampai ke hari ni tak pergi jugak lagi! Cerita pasal doktor ni, semalam aku ada talipon si Singh sorang ni. Jeff Singh si doktor gigi di segambut. Kawan lama aku satu kelas dulu. Mana nak cari tempat buat "braces" kat abang? Dia cadangkan kawan dia kat ampang. Tanya harga, dr woon cakap RM8,000. That's a standard price! Mak aiiiii...mana aku nak pi cekau duit tu? Belum masuk gigi yang akan dicabut lagi...ishhh...ishhh...ishhh.....ni tengah dok pikir macamana nak buat ni....janji aku pada abang, waktu cuti sekolah ni lah! Hahahahaha....padan muka aku!

Khamis, Oktober 18, 2012

Bob dan Uncle rojak buah!

Bakal pembesar Andorra!

Hahahahaha...aku dah malas nak chat rambut...biarlah dia seputih salju! Janji aku rasa comfortable. Ya...aku amat comfortable berambut macam ni....pendek dan putih. Dulu aku teringin nak berambut panjang dan bertocang......kemudian keinginan aku bertukar nak berambut panjang tapi beralun dan menggerbang macam Michael Bolton.....bila pikir-pikir balik, macamana aku nak berambut macam tu kalau aku masih bekerja dengan orang? Lain lah kalau aku bukak kedai kopi ataupun rumah tumpangan sendiri! Selepas berpuluh-puluh tahun aku berpikir dan bila selalu pulak tengok Anthony Bourdain, hmmm, finally aku rasa yang inilah yang paling sesuai untuk aku buat masa ini. Tak tahulah pulak kalau lepas ni aku nak botakkan kepala! Hahahahahaha.....Tapi kalau tengok betul-betul, ada beberapa area yang aku kena "makeover". Penting sekali ialah perut aku.....dulu ada orang berkata yang butang bawah jacket aku selalunya tak berkancing.....mungkin kata depa pasal perut aku gendut.......tapi aku counter balik dengan mengatakan bahawa itu adalah style ataupun gaya bila memakai jacket. Sila perhatikan pada semua orang yang memakai jacket. Itulah gayanya...butang bawah memang tidak dikancingkan! People, I'm DEAD serious!!! Ini bukannya nak "cover line!". Satu lagi, dada aku yang perlu dibaik pulih....these are the 2 crucial areas yang aku tengah tekun buat kat gym walaupun tak berapa nampak hasilnya...hahahahahaha....tak pa tunggu 3 tahun lagi.....anak-anak aku bila dengar, mesti cebik bibir!



Tapak berniaga nasi lemak..

Tapak kat atas ni ialah satu tapak paling syahdu untuk aku bila dikenang-kenangkan balik. Disinilah aku tolong BOB, kawan aku berniaga nasi lemak dan teyy tarik hampir setiap malam selepas pukul 11 malam sampai pukul 2-3 pagi. Waktu tu aku bekerja di SWENSEN's kedai aiskrim di Damansara Jaya yang kat sebelah tepi extreme right berhampiran dengan Sparkman Shop lama. Sorry tak nampak dalam gambar ni! (di Sparkman Shop tulah Bon Zainal ambik measurement untuk suit aku dulu masa nak ke luar negara  dan sekarang Bon Zainal dah ada jenama sendiri!). Tempat makan ni memang happening masa tu sebab ada disko dihadapannya dan Fredo and the Flinstone selalu main kat situ. Nasi lemak Bob lah yang tiap-tiap malam dia makan. Begitu jugak dengan artis-artis lain yang buat performance kat disko di kompleks ATRIA di damansara jaya tu. Aku selalu dapat masuk sebab tolong hantarkan nasi lemak dan teyy pada bouncers yang ada kat situ. Jadi bila aku lapang, aku akan jumpa depa dan dapat masuk free....since aku tak ada duit, aku akan capai gelas kosong dari mana-mana meja dan jalan pi balik...pi balik kat dalam tu....orang tak perasan yang gelas tu kosong sebab dalam tu gelap. Tujuan aku masuk semata-mata nak tengok live band main kat situ! Sempat jugak tengok SEHA@FREEDOM dan ZAINAL@HEADWIND main kat sana....hahahahahaha!

Still going strong!

2 minggu sudah, selepas aku menziarahi kubur arwah mama bersama-sama dengan kak anne aku, kami pi minum sekejap kat CHATIME di damansara jaya. Selepas saja minum, aku bagitahu kak anne yang aku nak pusing sekeliling kawasan tengok tempat lama. Aku pun memandu perlahan-lahan dan kak anne duduk disebelah aku. Sampai kat satu kawasan, aku ternampak uncle jual rojak buah ni tengah dok potong nenas. Aku berhentikan kereta kat tepi, capai kamera pinjam dan berjalan laju kearah uncle rojak buah ni. Tanpa mengangkat kepala, dia bertanya berapa bungkus aku nak? Aku jawab 25 bungkus dan uncle terkejut besar....bila dia toleh tengok aku dia terkejut lagi besar.... Kami bersalam-salaman seketika sambil bertanya khabar masing-masing. Uncle rojak buah masih kenal aku walaupun aku bekerja di kedai aiskrim kat tepi tu sekitar tahun 1988! Aku tanya mana aunty? Dia diam.........aku tukar topik terus.....uncle masih lagi macam dulu. Pakaian dia tetap sama dengan kasut "safety boots" dia. Masih berniaga ditapak yang sama disebelah longkang yang sama. Tapi kini uncle bersendirian menjalankan tugas dengan penuh disiplin.....rojak buah uncle rasanya tetap sama......kami bersalam kali terakhir sebelum aku meminta izin untuk pulang....Uncle genggam tangan aku erat....dengan pandangan yang layu tapi tajam tepat kearah mata aku, lembut dia berkat, "aunty oledi passed away few years ago...". Kali ni mata aku pulak bergenang!!!!

Selasa, Oktober 09, 2012

Katak!

Mysterious..

Pada suatu malam yang gelap pekat, sambil aku ralit dok menonton Berita pukul 8 malam, Yuya dan Marina terjengket-jengket tarik sliding door dan bukak padlock grill....aku jeling dan tanya nak kemana...dua-dua depa tunjuk tangan ke bibir dengan bunyi "syyyyyy". Ditangan kanan depa aku nampak ada lampu suluh sorang satu. Amboih, nak tanya depa pun kita pulak kena "syyyyy...". Aku sambung tengok Berita lagi....Yuya masuk balik kerumah dan tutup lampu depan. Malam tambah gelap dan cuma disimbahi cahaya bulan yang samar-samar ditutup awan, menandakan hari nak hujan. Pelepah pokok bergoyang kuat....Aku bangun pelan-pelan dan asyik dok tengok gelagat depa. Yuya letak 2 jari kat mulut, suruh Marina dok diam sat. Langkah diatur perlahan-lahan menuju ke pokok mempelam sebatang yang ada kat depan rumah kat tepi longkang. Pokok mempelam tu merupakan peninggalan Ah So kat atas rumah aku yang dah meninggal disebabkan penyakit kanser 2 tahun lepas. Aku diam dok perati depa.....gelagat depa sungguh menarik. Aku tutup TV dan mula mengekor dari belakang. Tangan, capai kamera aunty yang aku dok buat-buat macam kamera aku sendiri......angin dia!
Tanda-tanda dah ada!

Berkejar-kejar depa bilamana Marina nampak seekor anak katak duduk diam bawah pokok. Marina kejar, katak lompat....marina sergah katak lompat....Marina suluh lampu ke muka katak, katak panik dan melompat lebih jauh tanpa katak tu sedari, dia ter lompat masuk dalam longkang yang agak dalam...Marina dan Yuya sengih sesama sendiri....Yuya dan Marina tutup lampu picit dan tunggu lagi. Tiba-tiba datang bapak katak yang agak besar mencari anak dia yang hilang. Marina sebok menunjukkan kearah longkang besar tepi rumah aku. Mungkin Marina bersimpati dengan bapak katak tadi yang mana anaknya telah Marina sergah sampai jatuh masuk longkang! Ong...ang...ong...ang...bunyi bapak mencari anak...

Menghitung jumlah!

Yuya dan Marina sangat teruja mengejar katak. Suasana tenang macam ni lah yang aku suka. Laman di depan rumah aku agak besar. Bilamana malam berseri dengan bintang berkerlipan, aku angkut kerusi lipat cabok aku satu dan duduk kat depan rumah kat tepi pokok mempelam tu. Tengok anak-anak bermain, angin pulak bertiup manja, terpikir dalam kepala otak aku ni, "apalagi yang aku nak?"

Masa aku bersekolah dulu, dalam batch aku, banyak nama-nama pelik yang diguna-pakai. Ayam, cicak, kuda, pacat, anjing, dan tak ketinggalan katak! Sampailah ke hari ni bilamana kami talipon sesama sendiri, nama-nama ni semua masih kami gunakan...Kadang-kadang bila pasangan ataupun anak-anak dengar nama-nama kami, kami akan gelak sakan tengok muka anak-anak yang berkerut seribu....

Ahad, September 30, 2012

Perihal anak-anak!








Aku berdiri paling kiri!
Aku
Macamanalah kawan aku boleh terjumpa gambar kami di tahun 85 ni. Tahun terakhir kami di sekolah bersama rakan-rakan yang makan, minum, tidur, belajar, main dll bersama. Kat dalam gambar yang patut di "censor" tu, 27 tahun kemudian ada yang bergelar Pengarah Melaka Bersejarah, ada pemain golf professional, ada arkitek, ada peguam, ada bankers, ada yang mula mengatur tapak didalam bidang politik dan macam-macam lagi. Aku rasa gambar ni diambil sebelum kami habis "prep malam". Aku masa tu dok ada dalam lingkungan 65 kilo. Aktif bermain ragbi, bolasepak dan olahraga. Yang tak berapa nak aktif cuma belajar! Hahahahaha....65 kilo tuuu......dan berat sekarang? Dalam lingkungan 77++ kilo as of 20 minutes ago! Bila aku pi buat weight check kat Celebrity hari tu, kata machine tu, my ideal weight is 68!!! Oooo mak aiiii.....banyak kena discount tuh!


Abang no 8 beratur nak ambik gambar.

Arman Azumi.


Abang sangat minat bermain bolasepak. Dengan ketinggian yang luarbiasa yakni 178cm bagi remaja lelaki yang berumur 14 tahun, fizikal abang sangat baik sebagai pemain pertahanan. Berkat usaha keras abang sendiri yang menjalani latihan sebanyak 6 kali seminggu, makanan tambahan yang kami bekalkan kepada abang dan kata-kata peransang daripada kami ibubapa, alhamdulillah, abang telah dipanggil untuk menjalani latihan bolasepak bagi pemilihan pemain kebangsaan umur 14 tahun yang direncanakan akan berkampung di bukit jalil selama beberapa tahun bermula pada awal tahun depan. Pasukan ini akan menjalani latihan selama 2 tahun untuk persediaan kejohanan AFC dan mereka juga dirancang untuk menggalas tanggungjawab melayakkan diri ke sukan Olimpik nanti. Syabas KBS dan lain2 yang telah dan sedang berusaha mempertingkatkan mutu bolasepak negara walaupun ranking dunia sangat mengecewakan! Aku percaya, jika ada kesungguhan dan semuanya bekerjasama, hasil yang terbaik akan berjaya dituai akhirnya.
Maka dengan itu aku sentiasa mendoakan agar abang berjaya didalam apa juga bidang yang diceburi. Doa aku siang dan malam untuk abang. Begitu jugak untuk anak-anak yang lain....
Tapi sekarang ni abang kata dia sakit belakang lepas banyak main bola. Dah hampir sebulan abang sakit. Kami dah jumpa chiropractic yang paling dekat dengan rumah sekitar Ampang Point dan kami juga akan mencuba accupunture. Bukan saja untuk abang tetapi untuk aku jugak!

Yuya nak pi menari zapin!

Yuya

Pergh, biar betul budak sorang ni.....aku ni keras kekong...aunty pun sama tapi sekarang dia dah lembut sikit pasal dok attend kelas "belly dancing!". Tapi Yuya, macamana dia boleh start menari pulak ni? Hmmm, aku heran. Tapi apapun depa minat, aku akan sokong....Esok pagi Yuya ada hari sukan di Stadium mini Cheras. Dia masuk 4X100 dan 4X200 meter. Kalau lari tu, mungkin aku paham...kalau bersukan pulak, pun aku paham...tapi menari? Hahahahahaha.....buatlah apa pun asalkan dia menjadi salah sorang yang terbaik.....Aku tetap menyokong walau apa sekalipun benda baik anak-anak aku buat!
Yuya ada cikgu yang aku datangkan khas untuk mengajar dia sorang-sorang sekali seminggu. Bermula dari tahun lepas tapi mungkin kerana terlalu aktif bersukan dan berpersatuan, pelajaran Yuya agak mendatar. Ini sangat merisaukan aku. Aku bertanya pada guru maths kelas Yuya. Cikgu Zaleha kata, hantarlah kerumah beliau hari Khamis pukul 4. Jadi, hari Khamis lepas, aku bawak Yuya ke rumah cikgu Zaleha. Yuya paling tak paham topik-topik Fractions dan Percentage. Itu 2 topik yang selalu buat dia pening kepala katanya. Sejam selepas menghantar Yuya, aku ambil dia balik sambil bertanya apakah cikgu Zaleha ada bagi sedikit homework untuk dibuat di rumah atau tidak? Jawapannya, "Yuya dah paham topik-topik tu!". Malamnya pulak sewaktu aku duduk bersama-sama Yuya untuk mengulangkaji pelajaran, aku tengok Yuya dapat menjawab semua soalan dengan betul....Sebahagian homework dari cikgu Zaleha telah dihabiskan dan bila aku check, katanya, semua senang!!!!!


Aku cair dengan budak pompuan sorang ni....

Marina
Budak pompuan ni sangat peramah. Senang dia buat kawan. Kalau tinggalkan dia kat padang permainan, dia akan laju berjalan sambil mata liar kekiri dan kekanan. Pantang nampak budak pompuan lain seusia, dia akan terus approach dan mulakan perbualan! Ramai sudah kawan dia...tapi sorang pun dia tak tanya nama apa! Hahahahaha....dan perkara paling menakjubkan aku tentang Marina ni ialah, dia dah boleh menjahit pada umur 6 tahun. Seluar dia yang terkoyang kat lutut, dia jahit sendiri! Aku sampai ke la ni pun tak reti-reti nak menjahit. Ni semua pasal tiap-tiap malam dia dok melangut tengok mama dia dok menjahit. Hahahahaha....nampak gaya, kena hantar dia buat fashion design lah kalau lagu ni.....

Isnin, September 17, 2012

Hari Malaysia

Bought and read!

Aku ke kedai buku di Bangsar Village. Mencari buku yang dicadangkan tetapi malangnya tidak dijual disitu. Leka pusing-pusing sampai aku sendiri pening, aku tanya kat budak pompuan situ samada dia ada atau tidak buku yang pada sebelah paginya aku terbaca "review" menarik di The Star. Buku yang dihasilkan khas untuk Yasmin Ahmad, dibikin oleh Datin Orkid dan rakan-rakan Yasmin yang lain-lainnya. Budak pompuan tu angguk-angguk kepala sambil menuding jari ke satu stack buku-buku baru. Aku ternampak buku berkulit putih tu diatas counter cashier dan terus mencapai satu. Ada covernya dan aku tanya apakah betul buku tersebut mempunyai cover sedemikian (yakni nampak lusuh!), budak pompuan tu angguk kepala tanpa mendongak! Aku capai. keluarkan buku tersebut dari cover dan belek sambil membaca beberapa baris ayat-ayat yang disusun rapi. Ada yang sedih dan ada jugak yang melucukan. Semuanya berkisar tentang pertemuan depa dengan Yasmin, dari kacamata rakan-rakan sekerja, teman-teman rapat dan lain-lain lagi. Membaca sedikit dah mula menarik perhatian aku. Semuanya pengakuan luhur dan jujur dari rakan-rakan, menampakkan Yasmin seorang yang sangat disenangi dan berhak berada dikelas tersendiri. Aku tak buang masa, terus capai buku tu dan nak membayar sebelum aku teringat koleksi buku-buku enid blyton aku yang harus ditambah. Aku ke ruangan kanak-kanak dan membelek satu persatu buku-buku Famous Five karya agung Enid Blyton yang membariskan pelakon tak pernah tua seperti Julian, Dick, Anne, George dan anjing kesayangan depa bernama Timothy. Koleksi Famous Five ini sengaja aku beli kerana ilustrasinya telah diperbaharui bersempena dengan ulangtahun depa yang ke 70 tahun! Aku dah baca semua cerita-cerita depa sejak aku kecil lagi dan kini memperbaharui koleksi aku dengan membeli beberapa buah buku kanak-kanak Famous Five. Buku-buku inilah dulu yang memberikan aku inspirasi untuk berimaginasi! Gaya bahasa mudah dan penceritaan yang penuh misteri membuatkan naluri kanak-kanak aku sentiasa ingin tahu apakah kesudahan ceritanya! Kini dah 2 buku yang aku dah habis baca dan ada beberapa lagi didalam siri Famous Five yang aku bercadang nak membeli.....Masa aku nak bayar, ada pompuan mat salleh tengok aku sambil tersenyum dan bertanya, "For your kids?". Aku geleng kepala sambil berkata, "No...it's for me!".

Full House!

Ada satu weekend tu masa aku balik dari menziarahi kubur arwah mama, kak anne ajak aku breakfast di satu restaurant di Damansara Utama. Nama dia Village Park Restaurant. Parking penuh dan aku terpaksa parking kereta cabuk aku lebih kurang 50 meter dari restaurant. Orang ramai, sampailah ke atas jalan. Manakala di corridor sepanjang deret restaurant tu jugak diletakkan kerusi dan meja. Para pekerja sangat efficient. Walaupun meja aku dipenuhi dengan pinggan dan gelas tetamu terdahulu, depa cepat datang clear dan terus ambik order. Very good. Pelbagai bangsa datang dan aku tengok deretan orang queue untuk pesan makanan adalah dalam 15 meter sampai ke luar kedai. Service sungguh cepat. Manakala yang duduk dimeja, diberikan menu, dan order aku dan kak anne sampai dalam tempoh hanya 20 minit!

Aku bagitahu Kak Anne yang aku nak masuk ke dalam kedai dan tengok interior. Bersih dan meja semuanya penuh. Cashier yang juga merupakan tuanpunya kedai sangat sibuk. Di belakang cashier terdapat gambar-gambar tetamu yang pernah makan dikedai tersebut termasuk Tun Mahathir, barisan menteri-menteri kabinet sekarang, Lee Chong Wei dan ramai lagi celebrities yang pernah datang ke situ untuk menjamu selera. Terdapat jugak sekeping nota tulisan tangan daripada Tun M dengan ucapan terimakasih. Aku rasa semuanya membawa value yang sangat tinggi! Jadi kepada pembaca aku yang budiman, silalah menjamu selera kat sana......Have a nice productive week ahead people!

Sabtu, September 08, 2012

FLYFM Open House

Matt London in KL!

Dihari yang berbahagia dan bersamaan dengan hari Rumah Terbuka FLYFMdi tempat aku, aku dikunjungi oleh salah sorang teman lama aku. Memang lama sungguh berteman kan dia. Dulu selalu aku bercerita pasai Matt ni. Dia ketua murid sekolah rendah bandar hilir melaka tahun 1979 dan aku pulak ketua murid sekolah yang sama tahun 1980. Tahun 81 kami berjumpa di SDAR bila aku masuk form 1 dan Matt waktu tu dah masuk form 2. Ramai budak batch dia dari sekolah rendah bandar hilir masuk SDAR. Malakut, Gonjeng, Rock adalah sebahagian daripada mereka....kami masih berhubung sampai sekarang...itulah kelebihan old boys ni....

Matt menetap di London sekarang dan balik bercuti ke kl bersama dengan keluarga. 3 minggu depa raya. Matt talipon aku dan bagitahu yang dia ada kat Pavillion. Aku jemput Matt datang sekali since lama aku tak jumpa dan kebetulan pulak ada open house. Sebenarnya taklah lama sangat, beberapa bulan yang lepas masa aku berkunjung ke Landenn, Matt lah yang entertained aku selama hampir 2 minggu. Dibawaknya aku makan merata ceruk...Jadi dikesempatan yang singkat ni, aku nak mengucapkan terimakasih pada Matt kerana sanggup meluangkan masa datang menjengok aku. To Matt, "you take care brother....call me whenever you are in KL!"

Matt sekeluarga dan aku bersama FLYFM Crews!

As a special treat to Matt's kids, kami bergambar beramai-ramai dengan all presenters, emcees, dj's yang ada malam tu....anak-anak Matt yang tak fasih cakap melayu cuit tangan aku dan bisik..."Uncle....this is cool mannnn....this is real COOOLLLLL!". Aku tersengih........

Showdown 2012!

Maaf, aku tak ingat nama dia apa, tapi aku panggil dia "Abang Showdown". Mengekek-ngekek dia gelak! Both of them sangat-sangat down to earth. Depa datang bersalam dengan aku dan kami bersembang banyak cerita. Termasuklah soalan macamana aku nak masuk showdown programme sekeluarga! Dia bantai gelak lagi kuat! Hahahahahaha....

Adam of 8TV

Program ni dibuat di malam menjelangnya Merdeka. Adam buat siaran langsung dari tempat aku. Alhamdulillah! Adam ni memang banyak cakap. Non stop dia berceloteh....pergh...aku rasa letih mak pak dia dulu dok melayan si Adam ni. Baik sungguh budak sorang ni. Hormat dengan semua orang....dulu masa aku buat event Desperate Housewives pun dia yang hostkan...Jadi kami masih kenal satu sama lain. Sempat pekena teyy sama-sama malam tu dengan yang lain-lain....

Honey Madu..

Yang ni aku tak berapa nak kenai sangat. Katanya dulu menyanyi tapi la ni jadi emcee. Alhamdulillah....rezeki dia kot. Maklumlah Honey-Madu, senyum dia memang menawan. Berkuntum-kuntum senyum dia malam tu....very the sweet! Cerita pasai dj ataupun Emcee ni, teringat aku pada 2 orang lama yang sangat aku suka. Yasmin Yusuff dan Constance Haslam. Bila depa keudara, aku tak pernahnya miss. Kalau tak salah aku CH pun dok baca berita at one time masa time Harjit Singh dan Hisham Embi. Apa lah dah jadi kat depa. Paling lama aku ingat ialah kat si Singh tu,  kalau tak salah aku, dia dok baca berita sejak dari tahun 70 an lagi tu! Ada sorang tokoh negara pernah bagitahu kat aku, "Shahrir, cuma ada satu benda pada seseorang yang tak akan berubah....yakni suara dia....". Maka dengan itu aku pun teringatlah kat bekas-bekas pembaca berita kita termasuk jugak lah dengan Datuk Rahim Razali. Walaupun rupa dan fizikal dimamah usia, tapi dengarlah suara depa....tetap sama...macam jugak Datuk Haji Hasbullah Awang!

Kesemua crew!

Meriah sungguh malam tu. Aku gumbira sebab selain daripada function yang berlangsung dengan jayanya, kehadiran Matt London sekeluarga dari Lanndenn bertandang ke tempat aku malam tu sesangatlah istimewa untuk aku. Crew FlyFM amat sporting. Baik, rendah diri dll lagi yang positif. Kalau aku nak tulis mahu sampai esok tak habis cerita perihal depa ni. Tengok sajalah muka-muka depa tu....macam-macam perangai ada!

Aku dan Fabian aka Phat Fabes!

Fabian ni sekarang merupakan dj dan emcee terkenal. Salah sorang yang terbaik dinegara kita. Aku kenal Fabian sejak dari tahun 1992 lagi sewaktu aku menjadi manager pertama di Uncle Chilli's FunPub di PJ Hilton tu. Dalam UCFP tu dulu ada 2 karaoke rooms yang sangat besar, games room, dance floor, dj console area, open kitchen dan an island bar. Group yang main kat situ masa aku disana dulu ialah seperti Alleycats dan Headwind (seingat aku). Manakala Fabian merupakan resident dj aku waktu itu. Setiap malam lepas kerja dalam sekitar pukul 2 pagi, aku akan melepak dengan dia minum-minum dan merapu. Selalunya kami terbabas sampai pukul 4 atau 5 pagi.....pertemuan aku dengan Fabian di JDR menggamatkan suasana malam tu. Kami berborak sakan cerita-cerita lama....nostalgia.....

Ok people, aku nak rehat sekejap. Pagi tadi aku dah bergelumang kat gym selama sejam lebih...dada terasa ketat sikit. Sakit dah kurang. Btw, aku tengah gila pi gym la ni...in fact hari ni merupakan hari ke 5 aku ke gym minggu ni. Err, rasa-rasa esok pagi pun aku nak kesana jugak lah...early workout! Fuyooo...."eat healthy and stay healthy people!

Pengembaraan Solo Tanpa Tujuan - part 6

( cerita ini diambil dari  fb saya, trip 30/9-7/10 ) Hari ni saya sangat berpuas hati kerana rakan yg dah lebih 20 tahun saya tak jumpa ...